Sentral: UPNM tuan rumah sukan lasak
KUALA LUMPUR: Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) bakal melakar sejarah apabila menjadi tuan rumah peringkat akhir kejohanan Malakoff University Duathlon Series 2008 (MUDS 2008), pada 2 Ogos depan.
Acara tahunan anjuran Malakoff Corporation Bhd bersama Power Bar adalah kali kedua selepas kejohanan pertama pada 2003 di Universiti Putra Malaysia (UPM).
Naib Canselor UPNM, Lt Jeneral Datuk Ir Ismail Samion, berkata pemilihan universiti itu sebagai pentas terakhir kejohanan meliputi tiga peringkat itu adalah satu penghormatan.
“Kami sebagai tuan rumah akan memastikan setiap peserta yang mengambil bahagian mendapat kemudahan dan keselesaan. UPNM juga akan memastikan pelajarnya mencatat penyertaan tertinggi dalam kejohanan kali ini,” katanya ketika ditemui pada Majlis Taklimat dan Perasmian Untuk Media di sini semalam.
Katanya, pembabitan pelajar UPNM dalam kejohanan sukan lasak sebelum ini turut menjadi sandaran kemampuan mereka tampil mencabar dalam penganjuran MUDS 2008.
Sementara itu, Pengurus Pembangunan Produk Power Bar, Mohamad Rahimi Abdullah, berkata syarikatnya bersama Malakoff memperuntukkan lebih RM90,000 untuk menyediakan hadiah kepada pemenang dalam tiga peringkat kejohanan itu.
“Untuk peringkat pertama, bermula di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 19 Julai ini perlumbaan membabitkan enam kilometer (km) berlari dan 14.5 km berbasikal
“Peringkat kedua pula diadakan di Universiti Malaya (UM) pada 26 Julai depan. Dalam peringkat kedua, peserta perlu menamatkan larian sejauh tujuh kilometer dan berbasikal sejauh 14 km,” katanya.
Rahimi berkata, kemuncak kejohanan MUDS 2008 pada 2 Ogos depan yang diadakan di UPNM memerlukan setiap peserta mengambil bahagian menyempurnakan larian sejauh lapan kilometer dan berbasikal sejauh 20 km.
“Kita harap penganjuran sukan lasak ini mendapat sambutan daripada peminat acara duathlon dari semua institusi pengajian tinggi awam dan swasta di seluruh negara.
“Kami juga akan mengadakan promosi bergerak ke semua institusi pengajian tinggi tidak lama lagi,” katanya.
Mereka yang berminat untuk menyertai MUDS 2008 boleh mendapatkan borang penyertaan dengan memuat turun dari laman web www.duathlonseries.com atau menghubungi penganjur di talian 03-7873 0788.
Yuran pendaftaran RM20 untuk kategori universiti, RM40 untuk kategori terbuka manakala RM60 untuk berpasukan (dua orang satu pasukan). Setiap pembayaran boleh dibuat melalui cek atau bayaran bank ke nombor akaun 2-12200-0002225-0.
Hak Cipta Terpelihara 2007 - Berita Harian Sdn. Bhd. Emel kami sebarang maklum balas. Kembali ke atas
========
Full article here.
========
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment